KTM, satu jenama yang tidak asing lagi dalam dunia permotoran kelas enduro dan motorcross. Syarikat yang berpengkalan di Mattighofen, Austria ini mula melonjak nama melalui ketegori off-road ini. Syarikat yang diasaskan oleh Hans Trunkenpolz (1934) ini juga turut menghasilkan motorsikal kelas supermoto, supersport, kembara dan naked bike.
Dengan mensasarkan pengguna harian, maka fokus KTM adalah dari kelas streetbike. Kini, hampir 50% dari jualan syarikat adalah dari produk streetbike dan sudah tentu model Duke merupakan model yang paling laris di pasaran.
Tergolong dalam golongan naked, model Duke ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Duke dan Super Duke. Untuk kategori Duke, ianya melibatkan kapasiti enjin rendah dan sederhana yang menggunakan silinder tunggal. Untuk kategori Super Duke pula, ianya melibatkan kapasiti enjin yang lebih tinggi dan juga menggunakan enjin V-Twin. Varian untuk kategori Duke ialah Duke 125, Duke 200, Duke 390, Duke 690 dan Duke 690R. Manakala untuk kategori Super Duke pula, ianya merangkumi varian 990, 990R. Kini, KTM memperkenalkan model barunya iaitu KTM 1290 Super Duke R dan ianya sudah menembusi pasaran Malaysia.
Buat masa sekarang, model ini tidak mempunyai pesaing secara langsung tetapi model yang mendapat gelaran The Beast ini mampu memberi saingan terhadap Ducati Streetfighter, MV Agusta Brutale serta Triumph Speed Triple. Dengan gabungan warna jingga dan hitam, disertakan pula dengan rekabentuk sudut tajam pada potongan badannya, sememangnya model ini memaparkan reka bentuk yang amat menarik dan agresif.
Penghasilan kuasa model ini adalah dari enjin model KTM 1190 RC8 R, namun ianya telah melalui beberapa proses penambahbaikan pada sistem enjin tersebut seperti penggunaan piston yang lebih ringan, rod penyambung yang lebih ringan, pembesaran saiz gerek serta penambahan kadar lejang. Terdapat 3 mode yang kita boleh set kan pada The Beast ini iaitu Street, Sport dan Rain. Pilihan mod ini boleh dilakukan ketika motorsikal berada dalam keadaan pegun dan ianya diaktifkan kira-kira 5 saat selepas butang mod ditekan.
Prestasi The Beast dapat ditingkatkan dengan penggunaan omboh yang ringan
Sistem pembrekan pula dikawal oleh Bosch MTC dengan padanan sistem brek anti kunci (ABS). Namun padanan ABS tersebut dapat dinyahaktifkan untuk tayar belakang seandainya kita mahu merasakan jenis tunggangan supermoto. Dengan penyahaktifan ABS, tayar belakang akan mudah gelongsor apabila melayan kawasan berselekoh.
ABS dapat diaktifkan dan dinyahaktifkan mengikut kehendak pengguna
Chasisnya pula dibuat dari keluli krom-molibdenum dan dilengkapi dengan lengan ayun jenis tunggal (single arm). Lengan ayun ini diperbuat dari aluminium. Aspek keselesaan dititikberatkan dalam rekabentuk dan kejuruteraan chasis The Beast ini.
Lengan ayun jenis tunggal
Sistem suspensi jenama WP dipadankan pada model ini untuk hadapan dan belakang dan ianya dapat dilaraskan mengikut kesesuaian dan citarasa pengguna. Bagi memastikan setiap selekoh dapat diratah dengan rakus dan cengkaman yang terbaik, model ini dipasangkan dengan tayar Dunlop SportSmart 2. Tayar ini direka khas bagi keadaan jalan biasa, trek mahupun jalan basah.
Paparan meter instrumen yang menunjukkan pelbagai maklumat termasuk mod tunggangan
Model ini telah memasuki pasaran Malaysia dan ianya sudah boleh ditempah. Harga asas yang ditawarkan adalah RM 128,800 seunit. Ya, mungkin harganya membuatkan anda berfikir sejenak. Namun rasanya ianya agak berbaloi untuk peminat tegar kategori streetbike yang mementingkan kuasa, pecutan, kawalan selekoh dan keselesaan menunggang.
-PokNik-
-Masukgear-
-Masukgear-
*Sumber bahan : Kosmo (28.12.2013)
No comments:
Post a Comment