Wednesday, 19 February 2014

Lebuhraya Timur - Barat (Jalanraya Jeli - Gerik)

Lebuhraya Timur - Barat merupakan laluan persekutuan yang menghubungkan antara Jeli di Kelantan dan Gerik di Perak. Pembinaannya diilhamkan oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu (Almarhum) Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Projek ini menelan belanja hampir RM 300 juta dan jarak perjalanannya adalah 123km iaitu 61km dalam negeri Perak dan selebihnya dalam negeri Kelantan.


Walaupun projek ini dimulakan 1967, tapi ianya siap dan dibuka untuk orang awam pada 1 Julai 1982. Inilah projek jalanraya yang paling lama untuk disiapkan. Kenapa? Ini adalah kerana projek ini seringkali terganggu oleh perbuatan khianat dari pihak pengganas komunis yang menjadikan hutan itu sebagai kem penempatannya.Dan sepanjang perang Insurgensi Komunis (1967 - 1989), pihak komunislah yang bertanggungjawab mencetuskan kerosakan terhadap pembinaan jalanraya tersebut. Pihak komunis yang terbabit dalam punca kerosakan ini ialah dari Rejimen 10 (pimpinan Abdulah CD) dan Rejimen 12 (pimpinan Ah Sze). 


Kos pembinaannya pada tahun 1967 dikatakan cuma RM85 juta sahaja namun meningkat kepada RM 168 juta pada tahun 1973 dan akhir sekali pada tahun 1975 meningkat kepada RM 204 juta. Ini berpunca daripada serangan PKM ke atas jalan raya dan juga pekerja pekerja serta jentera2 pembinaan JKR yang mendatangkan kemusnahan agak teruk dan korban jiwa yang ramai. Tragedi 23 Mei 1974 sudah tentu masih lagi segar dalam ingatan pekerja pekerja pembinaan Lebuhraya Timur Barat yang terselamat. Pada tarikh itu merupakan detik hitam bagi JKR khususnya kerana mereka diserang oleh gerila PKM yang lengkap bersenjata hingga mengorbankan 3 orang pekerja JKR dan sebanyak 63 buah Bulldozer dimusnahkan. Selain itu ada juga satu lagi serangan PKM terhadap JKR pada tarikh 27 Ogos tahun yang sama dan seperti biasa nyawa pekerja JKR dan jentera juga musnah sama sekali. Bahkan disebabkan kekerapan serangan ini lah projek jalanraya Timur-Barat terpaksa ditangguhkan selama beberapa tahun demi keselamatan nyawa pekerja JKR. Punca kenapa mereka diserang ialah tindakan kerajaan Malaysia membina Jalanraya Timur-Barat sebenarnya telah menyekat pergerakan PKM menyusup masuk ke Semenanjung Malaysia dan juga menyebabkan kawasan operasi serta latihan PKM menjadi semakin kecil dan ini telah memaksa mereka memindahkan HQ bases PKM ke Selatan Thai di wilayah Betong dan Sadao.


Semasa lebuh raya ini dibuka pada 1 Julai 1982, pihak tentera masih mengawal ketat lebuh raya ini dan pemandu hanya boleh menggunakan lebuh raya ini pada waktu siang sahaja. Pemandu juga perlu melapor diri setiap kali menggunakannya. Sistem kawalan keselamatan yang ketat telah dimansuhkan setelah pihak komunis menyerah diri sepenuhnya pada tahun 1989. Sebuah tugu peringatan dibina oleh Jabatan Kerja Raya di Pulau Banding bagi menghormati para pekerja yang terkorban akibat serangan hendap komunis sepanjang pembinaan Lebuhraya Timur-Barat.


PENGORBANAN DALAM KENANGAN
JALAN RAYA TIMUR BARAT (1970 - 1982)

Jalan Raya Timur Barat (Gerik - Jeli) telah dibuka pada lalulintas pada 1hb Julai 1982. Banyak nyawa telah terkorban semasa kerja pembinaan dilaksanan mulai tahun 1970. Ada yang terkorban semasa kemalangan di tempat kerja dan ada yang diserang oleh pengganas komunis.

Di lokasi ini, 63 buah mesin jentolak tanah telah diletupkan oleh pengganas komunis pada 23hb Mei 1974. Di lokasi ini juga tiga nyawa pekerja JKR telah terkorban dan beberapa lagi cedera dalam serangan pengganas pada 27hb Ogos 1974. Beberapa serangan lain juga telah berlaku di sepanjang jalanraya yang melibatkan pekerja JKR dan anggota pasukan keselamatan. Kita memperingati semua yang telah berkorban nyawa bagi menjayakan pembinaan Jalan Raya Timur Barat ini.

Sila sedekahkan Al-Fatihah pada orang-orang yang terkorban di sini. 


-PokNik-
MasukGear

1 comment:

  1. lambang sejarah dlm memebangun negara ialah jalan ini sendiri..harus dikekalkan agar gen baru dpt menatapp tatkala melalui jlnraya ini..

    ReplyDelete