Wednesday 23 March 2016

RON 95 vs RON 97, Mana lagi jimat?

Assalamualaikum.. Selamat sejahtera buat semua pembaca blog MasukGear. Dah lama rasanya aku tak update blog ni. Dah bersawang dah. Erm.. Maaflah sebab semenjak dua menjak ni aku agak sibuk dengan tugasan-tugasan dan juga komitmen yang diamanahkan kepadaku. Sekarang ni baru ada sedikit masa yang terluang untuk aku menulis dalam blog ni. Okaylah, untuk entri kali ni, aku akan bandingkan penggunaan petrol RON 95 dan juga RON 97. Manakah yang lagi jimat? Yang manakah lebih berbaloi untuk jentera anda semua? Di sini, aku ada sediakan butirannya..



Untuk entri ini, aku akan gunakan data-data yang lepas untuk aku bandingkan penggunaan petrol RON 95 dan juga RON 97 ke atas jenteraku. Ujian ni adalah sah dan hanya tertakluk kepada beberapa keadaan iaitu :-

- Jentera yang digunakan untuk ujian ini adalah Kawasaki ER6F 650 2012.
- Penggunaan petrol untuk RON 95 adalah dari jenama Shell, Caltex dan juga Petron.
- Penggunaan petrol untuk RON 97 pula adalah dari jenama Shell dan Caltex.
- Jarak untuk ujian ini adalah melebihi 1300km untuk setiap jenis petrol RON 95 dan juga RON 97.
- Kelajuan jentera dalam ujian ini adalah secara puratanya antara 90kmj - 130kmj.


Jentera yang terlibat dalam ujian penggunaan petrol RON 95 dan RON 97

Untuk ujian penggunaan RON 95, aku telah dapatkan data-data yang berkaitan dari ride ke Kelantan dan Terengganu tempohari iaitu 02.10.2015 - 04.10.2015 yang lepas. Hasil dari ride tersebut, aku melakukan perjalanan sejauh 1344.7km dan menelan petrol sebanyak 56.49 liter. 

Manakala untuk ujian penggunaan petrol RON 97 pula, aku telah dapatkan data-data hasil dari ride berdua bersama Kasha ke Kelantan pada 07.02.2016 - 09.02.2016 yang lepas. Hasil dari ride tersebut, aku melakukan perjalanan sejauh 1336.7km dengan penggunaan petrol pula sebanyak 54.16 liter.

Apabila dibandingkan kedua-dua data dari ride aku yang lepas, jelas menunjukkan bahawa penggunaan petrol RON 97 lebih menjimatkan berbanding dengan RON 95. Namun begitu, angka penjimatan tersebut agak kecil jika dibandingkan dengan jarak perjalanan yang melebihi 1000km.

Untuk memudahkan pengiraan, aku telah ubah sedikit penggunaan petrol kepada jarak 300km. Dan dari hasil tersebut, aku dapati, aku hanya jimat sebanyak 0.448 liter sahaja untuk jarak sejauh itu. Dan bila didarabkan dengan harga petrol semasa, jelas menunjukkan kos penggunaan RON 97 lebih tinggi berbanding kos petrol RON 95. Anda boleh semak jadual yang aku sediakan di bawah.


Tapi aku dapat rasakan perbezaan kuasa yang dikeluarkan oleh RON 97 berbanding RON 95 ke atas jenteraku bila memecut untuk memotong kereta atau lori di depan. Paultan juga ada keluarkan satu artikel bersabit penggunaan RON 95 dan juga RON 97. Paultan menggunakan dua jenis varian dari Volkswagen untuk ujian tersebut. Dan hasil dari ujian tersebut, RON 97 nampaknya lebih menjimatkan bila diguna pada Polo Sedan. Namun begitu, berbeza pula untuk Volkswagen Jetta yangmana RON 95 didapati lebih menjimatkan berbanding petrol RON 97. Anda boleh baca artikel penuh yang dikeluarkan oleh Paultan di sini.

So, kesimpulannya adalah untuk Kawasaki ER6F 2012, penggunaan RON 97 lebih memberi kilometer berbanding RON 95 namun dengan harga semasa petrol, RON 95 lebih memberi penjimatan. Jadi, tepuk dada, tanya selera. Jentera anda, kocek anda. Pilihan terletak di tangan anda. Andainya anda mahukan lebih kuasa, sudah tentulah RON 97 pilihannya. Tapi andainya anda mahukan lebih penjimatan, RON 95 lah pilihannya. Sehingga bertemu lagi di lain masa.



-PokNik-
MasukGear

1 comment:

  1. Btol bro. 97 lebih terasa uumphnya banding 95.
    -pendapat saya la-

    ReplyDelete