Monday 2 February 2015

Maksud Kod Pada Minyak Pelincir

Apabila tiba masa untuk servis motorsikal kita, kadangkala kita tertanya-tanya, jenis apakah yang bagus untuk enjin motorsikal kita? 10W/40? 5W/40? Ada juga kawan-kawan yang cakap "pakai 10W/40 la best.. Enjin ringan je" Tetapi, tahukah kita apakah maksud disebalik kod yang tertera di botol minyak pelincir tersebut?


Jadi, untuk entri kali ini, saya akan kupaskan beberapa perihal tentang jenis minyak pelincir dan maksud kod-kod yang ada pada botol minyak pelincir tersebut.

Secara amnya, minyak pelincir terdiri dari 3 kelas iaitu mineral, semi-sintetik dan sintetik sepenuhnya. Pada asasnya minyak pelincir mineral adalah minyak mentah yang diproses di kilang penapis untuk mengasingkan pecahan pelinciran dan membuang bahagian-bahagian yang tidak diingini seperti lilin. 

Minyak pelincir sintetik sepenuhnya pula dihasilkan dengan menggunakan proses kimia yang lebih mahal daripada yang digunakan dalam pengeluaran minyak mineral. Oleh kerana itu, minyak sintetik sepenuhnya lebih tahan haba dan lebih mudah dilindungi oleh bahan tambahan antioksidan (pengoksidaan adalah proses degradasi alam yang berlaku dalam minyak dari masa ke masa).

Minyak pelincir jenis semi-sintetik pula adalah jenis campuran kedua-dua bahan yang ada di dalam minyak pelincir jenis mineral dan sintetik sepenuhnya.


Pengredan sesuatu minyak pelincir adalah berdasarkan indeks kelikatan minyak tersebut, dan ianya mengikut standard SAE (Society of Automotive Engineers) iaitu sebuah badan khas yang ditubuhkan bagi kejuruteraan automotif. 


Minyak pelincir juga terbahagi kepada dua gred iaitu gred tunggal (Monograde) dan gred pelbagai (Multigrade). Minyak pelincir ‘monograde’ adalah minyak pelincir yang hanya mempunyai satu kelikatan (samada semasa sejuk atau panas). Harga minyak pelincir jenis ini adalah lebih murah berbanding minyak pelincir ‘multigrade’ dan biasanya digunakan untuk kenderaan ataupun jentera berat dan lasak atau untuk enjin kenderaan ringan yang telah berusia. Kadar kelikatan SAE 40 adalah sangat popular yang terdapat dipasaran hari ini.

Sementara itu, minyak pelincir jenis ‘multigrade’ pula bermaksud, sesuatu minyak pelincir yang mempunyai kadar kelikatan yang boleh berubah daripada lebih cair semasa suhu sejuk kepada lebih pekat apabila kepanasan suhu meningkat. Kebiasaannya minyak pelincir ‘multigrade’ adalah dirujuk dengan dua kadar kelikatan. Contohnya; SAE 10W/30, SAE 15W/50, SAE 20W/50 dan sebagainya.

Jadi, apakah maksud SAE10W/40? W itu merujuk kepada winter iaitu kadar kelikatan minyak pelincir yang diuji pada suhu sejuk. Manakala angka tanpa W pula iaitu 40 ialah tahap kelikatan minyak pelincir pada suhu panas. Semakin besar angka yang ditunjukkan, semakin tinggi daya tahan minyak pelincir itu terhadap kepanasan operasi enjin. Di negara bermusim sejuk, minyak pelincir yang mempunyai nilai W rendah adalah penting bagi memudahkan enjin dihidupkan. Walaupun di Malaysia tidak mempunyai musim salji, minyak pelincir ‘multigrade’ ini juga turut memainkan peranan dan ia juga telah menjadi satu standard yang ditetapkan oleh pengeluar kenderaan. Anda boleh merujuk kepada buku manual yang biasanya dibekalkan oleh setiap pengeluar kenderaan.

Jadi, sebelum anda menukar minyak enjin kenderaan anda, adalah disarankan agar anda menggunakan jenis minyak enjin yang disyorkan. Jagalah enjin kenderaan anda kerana enjin merupakan nadi bagi sesebuah kenderaan.



Sumber rujukan :

1 comment: