Saturday, 18 October 2014

Kawasaki Vulcan S 2015

Kawasaki merupakan nama yang tidak asing lagi dalam dunia jentera dua roda. Antara model yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan ialah dalam kelas cruiser iaitu siri Vulcan. Sejarah model Vulcan ini mula diperkenalkan seawal tahun 1984 dan model pertama dalam siri Vulcan adalah Vulcan 750 (VN750). Namun begitu, VN750 memasuki pasaran dunia pada tahun 1985.


Untuk memastikan generasi Vulcan tidak pupus ditelan zaman, Kawasaki telah mengambil langkah bijak dengan mengenengahkan satu lagi pewaris kelas cruiser ini iaitu Kawasaki Vulcan S 2015. Jentera ini dipertontonkan di American International Motorcycle Expo (AIMExpo) 2014.


Model ini dijangkakan memasuki pasaran seawal bulan Januari tahun depan. Menurut Kawasaki, model ini disasarkan untuk golongan beginners. Vulcan S ini dilengkapi dengan enjin bersesaran 649cc yang mana enjinnya adalah dari model Kawasaki ER6 dan Versys. Namun begitu, nadi penggerak Vulcan S ini ditala semula untuk kesesuaian penggunaannya. 


Enjin 2 silinder sebaris ini dilengkapi dengan 8 injap dan mampu menghasilkan 61hp @ 7500 rpm. Torknya pula adalah 63NM @ 6600 rpm. Dengan berat 225kg dan reka bentuknya yang sporty, ianya amat bersesuaian untuk tunggangan dalam bandar mahupun perjalanan jauh.


Rekabentuk chasisnya juga 'dipinjam' dari model ER6 dan Versys yangmana sistem suspensi belakang juga mirip kedua-dua model itu. Dengan kedudukan sistem suspensi di tepi menampakkan lagi ciri moden pada motorsikal ini.


Panel meternya tersusun kemas dan jelas mempamerkan info-info yang berguna kepada penunggang seperti penunjuk rpm analog, penunjuk kelajuan digital, aras bahan api, dan juga jam. 


Peredam bunyi disisip kemas di bawah body untuk menampakkan lagi rekabentuk yang sporty dan sistem brek belakang adalah jenis cakera tunggal 250mm satu omboh. 


Sistem brek hadapan pula adalah jenis cakera tunggal 300mm dua omboh. Motorsikal ini didatangi dengan saiz rim 17 inci untuk belakang manakala saiz rim depan pula adalah 18 inci. Rim-rim ini dimuatkan dengan tayar bersaiz 160/60R17M/C 69H (belakang) dan 120/70R18M/C 59H (depan).



Untuk keselesaan dan kesesuaian penunggang, footpegs dan tuil brek dan klac adalah jenis boleh laras.





Tangki petrolnya boleh memuat 14 liter isipadu bahan bakar. Diharap model ini dibawa masuk oleh Kawasaki ke dalam pasaran Malaysia. Dengan kemasukan model ini pasti akan merancakkan lagi persaingan dalam kelas cruiser. Dengan reka bentuknya seakan Harley Davidson Street 750, tidak mustahil Vulcan S bakal menjadi pilihan untuk masa akan datang.



-PokNik-
MasukGear

No comments:

Post a Comment